Sep 11, 2022 - FASTiga mata berharga berjaya dibawa pulang pasukan Selangor FC setelah menewaskan The Rhinos 3-2 di Stadium Likas semalam.
Ini merupakan kemenangan pertama daripada empat perlawanan di bawah kendalian Ketua Jurulatih Interim Gergasi Merah, Nidzam Jamil sejak awal bulan Ogos yang lalu.
Berdasarkan perlawanan yang sengit semalam, beberapa perkara penting yang dapat dicatatkan, seperti:-
1. MOTM: Hein Htet Aung
Seorang pemain muda import yang cukup dikenali dengan kerja kerasnya dalam setiap perlawanan. Pada malam semalam beliau merupakan antara pemain yang banyak melibatkan diri dalam serangan-serangan yang dilakukan terutamanya di bahagian kanan padang.
Hein juga berjaya menjaringkan gol pertama beliau bersama pasukan dalam saingan Liga Super 2022 pada minit ke-76 perlawanan setelah melakukan beberapa percubaan. Lorongan cantik daripada Aliff Haiqal Lau telah membantu Hein menghasilkan gol kemenangan Gergasi Merah semalam.
2. Dua jaringan gol dalam masa seminit
Pemain tonggak muda Selangor FC, Mukhairi Ajmal berjaya menjaringkan gol pertama #SABSFC pada minit ke-23 perlawanan dengan merembat masuk bola dari luar kotak penalti. Gol yang menarik ini terhasil setelah usahanya beberapa kali membuat percubaan.
Gol kedua dijaringkan tidak lama selepas itu hasil daripada kawalan dan hantaran yang baik daripada Herlison Caion kepada Brendan Gan di hadapan gol yang menyudahkan peluangnya sekaligus menambah jaringan gol pasukan.
3. Pertukaran pemain yang membantu pasukan di separuh masa kedua
Harith Haiqal dan Ashmawi Yakin telah dibawa masuk di separuh masa kedua bagi menambah tenaga di bahagian kubu pertahanan Selangor untuk bertahan sehingga ke wisel penamat. Barisan pertahanan nampak lebih berdisiplin di separuh masa kedua. Kredit juga harus diberikan kepada Zikri Khalili dan Richmond Ankrah dengan persembahan yang baik dipamerkan mereka dalam membantu mematahkan serangan pasukan lawan.
Selain itu, kemasukan Aliff Haiqal Lau nampak memberi impak yang sangat besar terutamanya di bahagian serangan apabila beliau sebaik sahaja masuk ke padang berjaya membuat percubaan yang hampir menambah jaringan gol pasukan. Lorongan cantik beliau kepada Hein Htet Aung telah membantu pasukan membawa pulang tiga mata berharga semalam.
Pertukaran yang dilakukan oleh Ketua Jurulatih, Nidzam Jamil dilihat sangat berkesan dan membantu beliau meraih tiga mata pertamanya dalam mengendali Gergasi Merah.
Pujian harus diberikan kepada semua barisan pemain yang beraksi dengan baik dalam perlawanan semalam.
Tahniah kepada pasukan Selangor FC. Teruskan momentum baik ini sehingga tamat Liga Malaysia musim 2022.
Demi kebanggaan!